Monday, July 9, 2012

Teguran Dari Tuhan



Petang itu aku memandu pulang kereta cari makan aku selepas menghantar MLS ke Stesen Pekeliling...perlahan. jimat minyak...kan kepala Negara suruh berjimat.

Memang setiap kali selepas rutin yang ini, jiwa nihilis aku selalunya dirundum sepi & sendiri yang sukar dibayangkan. Kalau nak mintak aku tulis skrip cerita sedih, masa-masa macam ni la. Minggu ni  dah genap 4 minggu aku tak berpeluang balik ke kampung untuk ambik pahala jenguk mak bapak aku. Bukan tak mahu atau teringin jadi batu, Cuma tak berkesempatan. Tapi aku yakin mak bapak aku bukan jenis mak bapak yang suka humban anak dalam neraka...pun begitu sudah tentu aku malu dengan i’lah yang satu ni. Ironinya tiap-tiap minggu aku hantar MLS tapi 4 minggu aku tak jumpa mak bapak sendiri. Kalau duduk zaman dulu, dah tentu dah jadi hikayat anak derhaka. Tanggang dah boleh cium tumit aku je...

Bila sedih atau susah, lumrahnya manusia akan cari Tuhan, meskipun ada yang menongkah lumrah. Jadi aku ingat yang aku tak solat Asar lagi. Casio Gold G360 aku tunjuk 15 minit sebelum pukul 6 petang. Kalau tak sekarang bila lagi kata sebelah kanan. Sebelah kiri kata Asar kat rumah je, rumah aku bukan jauh pun. Kanan menang. Kiri dendam.

Selesai menghadap. Tengah-tengah surau. Duduk. Fikir sesaat yang katanya lebih baik dari seribu tahun ibadah. Sebab aku takde seribu tahun, hence..

Ada anak kecil yang baru selesai solat betul-betul sebelah kanan aku. Kuyup dengan wudhu’. Baju seluarnya. Rambut kepalanya. Tak sampai sedekad pun usia.

Sekarang  aku sedar yang aku berdua dalam surau yang tak besar tu, cukup kecil untuk aku terdengar doanya.

 “Ya allah Ya Tuhanku, ampunilah segala dosa-dosa aku yang kurang ilmu & mengerti ujian darimu. Ampunilah segala dosa-dosa kedua ibu bapaku walaupun aku tak pernah bersua muka. Berilah peluang untuk aku bertemu dengan kedua ibu bapaku. Janganlah kau hukum aku bila aku berasa sedih melihat orang lain dengan ibu bapa mereka. Sesungguhnya aku masih kecil & tak mengerti. Kau berikanlah petunjuk supaya aku tahu yang ibu bapaku masih ada menunggu aku. Aku pun mahu merasa kasih sayang ibu bapa seperti Afiq & Iwan..... Amin ya Rabbal A’alamin”

Untuk beberapa minit seterusnya adalah satu ruang vakum pada aku. Sudah semacam disampuk hantu bisu, aku terkedu. Bunyi kriuk kriuk kipas usang atas kepala pun jadi sunyi. Ada air panas yang jatuh atas pergelangan tangan aku yang kini sejuk semacam mati.

Sedar aku toleh. Anak kecil sudahpun meninggalkan aku yang baru sahaja ditegur Tuhan.

Selepas bernafas panjang. Aku pandang Tuhan.

“Terima kasih Tuhan”

Aku senyum pada Tuhan. Ada lagi tempat aku di sisi Kamu.

Mesej dihantar pada penama 'Mama'

“Ma, masak ayam masak kicap. Adek balik malam ni :-)


2 comments:

  1. Short but precise! I'm overwhelmed. T_T A reminder to myself, never take things for granted, especially when it comes to our parents and family. :(

    ReplyDelete