Petang itu aku memandu pulang kereta cari makan aku selepas
menghantar MLS ke Stesen Pekeliling...perlahan. jimat minyak...kan kepala Negara
suruh berjimat.
Memang setiap kali selepas rutin yang ini, jiwa nihilis aku
selalunya dirundum sepi & sendiri yang sukar dibayangkan. Kalau nak mintak
aku tulis skrip cerita sedih, masa-masa macam ni la. Minggu ni dah genap 4 minggu aku tak berpeluang balik ke
kampung untuk ambik pahala jenguk mak bapak aku. Bukan tak mahu atau teringin
jadi batu, Cuma tak berkesempatan. Tapi aku yakin mak bapak aku bukan jenis mak
bapak yang suka humban anak dalam neraka...pun begitu sudah tentu aku malu
dengan i’lah yang satu ni. Ironinya tiap-tiap minggu aku hantar MLS tapi 4
minggu aku tak jumpa mak bapak sendiri. Kalau duduk zaman dulu, dah tentu dah
jadi hikayat anak derhaka. Tanggang dah boleh cium tumit aku je...
Bila sedih atau susah, lumrahnya manusia akan cari Tuhan,
meskipun ada yang menongkah lumrah. Jadi aku ingat yang aku tak solat Asar
lagi. Casio Gold G360 aku tunjuk 15 minit sebelum pukul 6 petang. Kalau tak
sekarang bila lagi kata sebelah kanan. Sebelah kiri kata Asar kat rumah je,
rumah aku bukan jauh pun. Kanan menang. Kiri dendam.
Selesai menghadap. Tengah-tengah surau. Duduk. Fikir sesaat
yang katanya lebih baik dari seribu tahun ibadah. Sebab aku takde seribu tahun,
hence..
Ada anak kecil yang baru selesai solat betul-betul sebelah
kanan aku. Kuyup dengan wudhu’. Baju seluarnya. Rambut kepalanya. Tak sampai
sedekad pun usia.
Sekarang aku sedar
yang aku berdua dalam surau yang tak besar tu, cukup kecil untuk aku terdengar
doanya.
“Ya allah Ya Tuhanku,
ampunilah segala dosa-dosa aku yang kurang ilmu & mengerti ujian darimu.
Ampunilah segala dosa-dosa kedua ibu bapaku walaupun aku tak pernah bersua
muka. Berilah peluang untuk aku bertemu dengan kedua ibu bapaku. Janganlah kau hukum
aku bila aku berasa sedih melihat orang lain dengan ibu bapa mereka. Sesungguhnya
aku masih kecil & tak mengerti. Kau berikanlah petunjuk supaya aku tahu
yang ibu bapaku masih ada menunggu aku. Aku pun mahu merasa kasih sayang ibu
bapa seperti Afiq & Iwan..... Amin ya Rabbal A’alamin”
Untuk beberapa minit seterusnya adalah satu ruang vakum pada
aku. Sudah semacam disampuk hantu bisu, aku terkedu. Bunyi kriuk kriuk kipas usang
atas kepala pun jadi sunyi. Ada air panas yang jatuh atas pergelangan tangan
aku yang kini sejuk semacam mati.
Sedar aku toleh. Anak kecil sudahpun meninggalkan aku yang
baru sahaja ditegur Tuhan.
Selepas bernafas panjang. Aku pandang Tuhan.
“Terima kasih Tuhan”
Aku senyum pada Tuhan. Ada lagi tempat aku di sisi Kamu.
Mesej dihantar pada penama 'Mama'
“Ma, masak ayam masak kicap. Adek balik malam ni :-) “

Sayu siot aku baca... T.T
ReplyDeleteShort but precise! I'm overwhelmed. T_T A reminder to myself, never take things for granted, especially when it comes to our parents and family. :(
ReplyDelete