
Arakian tersebutlah kisah, sebuah negeri tinggi di awan. Langit ke 12 di atas angin entah berentah. Dari berlapis-lapis langit & puluh-puluh pintu, yang sampai hanyalah mereka yang punya urusan baik & kebenaran kepala negeri. Meski cakap-cakap orang, begitu tinggi letak negeri, hanya mengambil 16 hela nafas untuk sampai ke sana. Entah benar entahkan tidak. Entah berapa kali bertukar nama dek kerana permainan ketua-ketua negeri & pedagang luar. Entah berapa kali bertukar kepala negeri dek kerana permainan fasis & untung rugi orang ada-ada. Demikian di dalam hikayat yang satu ini, nama diberi Negeri Garuda Merah.
Dimudahkan cerita susur galur yang panjang, 3 atau 4 kepala negeri sudah tumbang bertukar tangan. Yang pertama katanya jauh terbang dari sebelah Barat, meski bukan orang tempatan khabarnya baik pada rakyat, senyumnya selalu, gerangannya hadir di celah-celah rakyat hina membanting tulang. Yang Kedua paling lama, bukan lelaki bukan jantan. Datang jauh dari Negeri Singa Putih. Lagaknya garang bak singa raja di hutan. Suaranya keras bak halilintar. Begitu kata nenek moyang dibenarkan dengan mata kepala Hang Nadim sendiri, ada waktu memanda menteri dipanggil mengadap dari istananya, gegak gempita seantero negeri. Seram sejuk menteri-menteri negeri menunggu nasib mengadap jelmaan Singa Betina di atas singgahsana. Yang Ketiga paling kejap, lelaki bukan jantan, lebih tunduk dari mendongak, arahnya pasti cuma dikacau oleh sisa-sisa tadbiran Yang Kedua Maharani Singa Betina. Rakyat tuntas suka padanya tapi tak cukup sebab, tak sampai haul kerana-kerananya untuk lebih suka & hormat. Lantas Yang Ketiga jatuh tersungkur dalam keadaan tertanya-tanya rakyat jelata
“Begitu sekejapkah?”
“Apakah cukup denting masa diberi untuk Yang Ketiga membuktikan mampunya?”
“Apakah Yang Ketiga mangsa fasis oleh mereka di langit lagi tinggi?”
“Benarkah Yang Ketiga jadi wadah tahi-tahi tertinggal Maharani Singa yang jelas sekali sudah dilantik mendiam langit lebih tinggi?”
Begitulah tanya-tanya rakyat jelata lagi hina. Namun tak satu dapat dijawab melainkan cakap-cakap kosong yang hilang asas dan asalnya. Adapun dalam hikayat yang satu ini lebih pada Yang Keempat. Jelas sekali perempuan, sangat perempuan sehinggakan tiada yang membantah. Tuturnya tampak lembut & berhati-hati. Cakap-cakap orang pula memang Yang Keempat ini datangnya dari negeri yang pandai berkata-kata. Maka tak hairanlah cakapnya mampu buat orang gemar padanya, pada polisinya, pada janji manisnya, pada kata-kata semangatnya. Sempurna. Sekurang-kurangya tampak macam sempurna. Sangat sempurna hingga ada yang curiga. Yang Tua selalunya. Yang Muda baru lihat dunia membenarkan banyak dari Yang Keempat. Yang Tua bercakap-cakap sesama sendiri. Jangan-jangan itu. Jangan-jangan ini.
Kaum Muda : Memang sempurna orangya
Kaum Tua : Sempurna jangan ditelah awal. Air selalunya tenang di atas, di bawah belum tentu
Kaum Muda : Tapi semua tak nampak i’lah
Kaum Tua : Mesti simpan sikit curiga. Pasti ada yang tak kena. Mana mungkin kepala negeri seikhlas itu. Sejarah sudah sekolahkan kami-kami yang lebih dahulu hidup
Kaum Muda : (senyap. Tidak mengiya tidak mambantah)
Tapi ada juga yang turut si Tua.
Hang Nadim punya pendirian sendiri. Tidak terlebih di Muda, tidak juga terlalu memihak Kaum Tua. Itu istimewa lelaki bijaksana bukan pandai. Sekolahnya tak tinggi tapi jalanan & pengalaman menjadi cikgu berguna untuk membuat pilihan. Salah silah Hang Nadim ke Garuda Merah juga tak siapa arif melainkan dirinya.
No comments:
Post a Comment